MENDIDIK ANAK DENGAN ADAB

By ismishima - September 20, 2019


(gambar hanya hiasan sahaja)

Di dalam kitab "35 Adab Pilihan Dalam Islam", Syeikh Abdul Fattah Abu Ghuddah telah menyenaraikan adab meminta izin kepada keluarga di dalam rumahnya sebagai turutan adab yang ke-4 selepas daripada:

1) Adab masuk ke dalam rumah, membuka pintu dengan lembut
2) Adab masuk ke dalam rumah dengan memberi salam
3) Adab memberitahu kehadirannya sebelum masuk ke rumah

Adab yang diajar oleh Rasulullah begitu halus sekali. Hatta, ketika kita sedang berada di dalam rumah sendiri sekalipun, kita disuruh untuk meminta izin sebelum masuk ke dalam bilik orang lain.

Rasulullah pernah ditanya oleh sahabat, adakah dia perlu meminta izin sekalipun itu bilik ibunya. Lalu sabda Rasulullah,

استأذن عليها، أتحب أن تراها عريانة؟

('Engkau perlu meminta izin daripadanya. Apakah engkau suka bahwa engkau melihat ibumu dalam keadaan tidak berpakaian?')

Ini merupakan di antara adab yang telah diajarkan oleh kedua-dua ibu bapa حفظهم الله alfaqir ketika di rumah. Sungguh, mereka sangat mementingkan tarbiyatul awlad, semoga Allah merahmati kedua ibu bapa yang mendidik kami dari kecil mengenal Allah dan Rasul-Nya.

Ibuku sangat pantang kalau ada di antara adik-adik kami (sekalipun umur mereka masih lagi kecil) yang masuk ke dalam bilik abang dan kakaknya tanpa meminta izin dan mengetuk pintu terlebih dahulu.

"Jangan masuk macam tu saja dalam bilik orang lain. Kena amal ketuk pintu dulu sebelum nak masuk", pesan ibu kepada adik-adik.

Benarlah didikan di kala kecil itulah yang terbaik. Guru Mulia Syeikh Nazrul Nasir حفظه الله berpesan, kalau seorang budak kecil melakukan kesilapan, mereka perlu ditegur pada waktu itu juga agar mereka tidak akan lupa.

Mengajar budak-budak memang payah, tetapi mereka akan terus ikut apabila diajar. Ini keajaiban mereka. Ingatan mereka kuat. Oleh sebab itu, mengajar anak kecil itu diibaratkan seperti memahat di atas batu.

Apa yang dipahat itu akan terus kekal sehinggalah ke hari tua.. Benarlah pepatah Melayu ada menyebutkan bahawa,

'Melentur buluh, biarlah dari rebungnya..'

Wallahua'lam.

-Rasyid Al-Kinti

MATIN, Perlis
16 Rabi'ul Anwar 1440/
24 November 2018

https://t.me/RasyidAlKinti

  • Share:

You Might Also Like

0 comments

nama:
umur: