PETIKAN DARIPADA KHUTBAH TERAKHIR RASULULLAH S.A.W SEMASA HAJI WIDA’
By ismishima - October 08, 2013
Assalamualaikum... sedikit artikel untuk dikongsi.... :) ONE
Disampaikan pada 9
Zulhijjah Tahun 10 Hijrah di Lembah Uranah, Gunung Arafah.
Dengan Nama
Allah Yang Maha Pemurah lagi Maha Mengasihani
Wahai
manusia, dengarlah baik-baik apa yang hendak kukatakan, aku tidak mengetahui
apakah aku dapat bertemu lagi dengan kamu semua selepas tahun ini. Oleh itu,
dengarlah dengan teliti kata-kataku ini dan sampaikanlah ia kepada orang-orang
yang tidak dapat hadir di sini pada hari ini.
Wahai
manusia, sepertimana kamu menganggap bulan ini dan kota ini sebagai suci,
anggaplah jiwa dan harta setiap orang Muslim sebagai amanah suci. Kembalikan
harta yang diamanahkan kepada kamu kepada pemiliknya yang berhak. Janganlah
kamu sakiti sesiapapun agar orang lain tidak menyakiti kamu lagi. Ingatlah
bahawa sesungguhnya kamu akanmenemui Tuhan kamu dan Dia pasti membuat
perhitungan di atas segala amalan kamu. Allah telah mengharamkan riba, oleh
itu, segala urusan yang melibatkan riba dibatalkan mulai sekarang.
Berwaspadalah
terhadap syaitan demi keselamatan agama kamu. Dia telah berputus asa untuk
menyesatkan kamu dalam perkara-perkara besar, maka berjaga-jagalah supaya kamu
tidak mengikutinya dalam perkara-perkara kecil.
Wahai
manusia, sebagaimana kamu mempunyai hak ke atas isteri kamu, mereka juga
mempunyai hak ke atas kamu. Sekiranya mereka menyempurnakan hak mereka ke atas
kamu, maka mereka juga berhak diberikan makan dan pakaian dalam suasana kasih
sayang. Layanilah wanita-wanita kamu dengan baik dan berlemah lembutlah
terhadap mereka kerana sesungguhnya mereka adalah teman dan pembantu kamu yang
setia. Dan hak kamu ke atas mereka ialah mereka sama sekali tidak boleh
memasukkan orang yang kamu tidak sukai ke dalam rumah dan dilarang melakukan
zina.
Wahai
manusia dengarlah bersungguh-sungguh kata-kataku ini, sembahlah Allah,
dirikanlah solat lima waktu, berpuasalah di bulan Ramadhan, tunaikanlah zakat
dari harta kekayaan kamu dan kerjakanlah ibadah haji sekiranya kamu mampu.
Semua manusia berasal dari Adam dan Hawa, tidak ada (bangsa) Arab yang lebih
mulia dari (bangsa) bukan Arab atau (bangsa) bukan Arab lebih mulia dari
(bangsa) Arab, juga tidak ada yang (berkulit) putih lebih mulia dari yang
(berkulit) hitam atau yang (berkulit) hitam lebih mulia dari (berkulit) putih.
Ketahuilah bahawa setiap Muslim adalah saudara kepada Muslim yang lain. Kamu
semua adalah sama, tidak seorang pun yang lebih mulia dari yang lainnya kecuali
dalam Taqwa dan beramal soleh.
Ingatlah,
bahawa kamu akan menghadap Allah pada suatu hari untuk dipertanggungjawabkan di
atas segala apa yang telah kamu kerjakan. Oleh itu, awasilah agar jangan
sekali-kali kamu terkeluar dari landasan kebenaran selepas ketiadaanku.
Wahai
manusia, tidak ada lagi nabi atau rasul yang akan datang selepasku dan tidak
akan lahir agama baru. Oleh itu, wahai manusia, nilailah dengan betul dan
fahamilah kata-kataku yang telah aku sampaikan kepada kamu. Sesungguhnya aku
tinggalkan kepada kamu dua perkara, yang sekiranya kamu berpegang teguh dan
mengikuti kedua-duanya, nescaya kamu tidak akan sesat selama-lamanya, itulah
Al-Quran dan Sunnahku.
Hendaklah
orang-orang yang mendengar ucapanku, menyampaikan pula kepada orang lain.
Semoga yang terakhir lebih memahami kata-kataku dari mereka yang terus
mendengar dariku. Saksikanlah Ya Allah, bahawasanya telah aku sampaikan
risalahMu kepada hamba-hambaMu.
Wallahu
a’lam….
0 comments
nama:
umur: